(Re-post) Selangor calar ego Pahang



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI 
dan NOR AZIRAN YUNUS



PEMAIN gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan 3-2 Selangor ke atas Pahang 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Bekas pemain Kelantan itu tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang hasil hantaran menarik dari Shukor Jusoh untuk menjaringkan gol ketiga Selangor pada minit ke-80.

Sebelum ini penyerang veteran, Mohd. Amri Yahyah menjaringkan dua gol buat skuad Gergasi Merah.

Amri meletakkan Selangor di depan seawal minit kedua apabila bijak memanfaatkan hantaran rendah Solihin Kanasian sebelum pemain berusia 32 tahun itu menyumbat gol kedua selepas menolak mudah hantaran S. Veenod, sekali gus menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nordin pada minit ke-20.

Tersentak dengan dua gol tersebut, skuad Tok Gajah kembali bangkit dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan Selangor dan hasilnya, penyerang sensasi Pahang, Mohd. Fauzi Roslan berjaya merapatkan jurang apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-24.

Kesungguhan Pahang untuk menjaringkan gol penyamaan berbaloi apabila bekas pemain Selangor, Mohd. Razman Roslan mudah menyempurnakan sepakan penalti tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat untuk mengikat kedudukan 2-2.

Bersambung di separuh masa kedua perlawanan, Pahang kembali menguasai perlawanan apabila melancarkan serangan bertali arus ke benteng pertahanan Gergasi Merah.

Begitupun, Ramzul memastikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim meraih tiga mata berharga apabila menjaringkan gol kemenangan, sekali gus membantu Selangor menghuni tangga kedua setelah mengutip sembilan mata.

Meskipun tewas kepada Selangor, skuad kendalian Dollah Salleh kekal di puncak liga setelah berkongsi mata dengan Selangor dan Lions XII dengan kelebihan perbezaan jaringan.

"Saya tetap berpuas hati dengan persembahan skuad saya malam ini. Hanya kelalaian barisan pemain saya menyebabkan pasukan kami gagal meraih sekurang-kurang satu mata," ujar Dollah kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam perkembangan yang sama, Irfan tetap meluahkan rasa kagum kepada Pahang yang menggunakan 100 peratus tenaga tempatan selain menganggap skuad kendaliannya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan sejujurnya, saya amat menghormati Pahang dengan sikap juang mereka serta menurunkan barisan pemain tempatan," kata Irfan.

Sementara itu, di Stadium Jalan Besar Singapura, Terengganu mencatat kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada Lions XII.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Perak hasil jaringan Mohd. Failee Mohamad Ghazli pada minit ke-96.

Original link: Kosmo

Share this:

0 comments: